Saturday 4 February 2012

Salam Maulidurrasul 1433H



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulilah, segala puji kita panjatkan kepada Allah, selawat serta salam buat junjungan tercinta Rasulullah SAW, para sahabat r.a, juga mereka yang telah mencontohi dan menyelusuri jejak perjuangan baginda SAW.
Tanggal 5 Februari 2011, kita menyambut hari keputeraan Rasulullah SAW. Sambutan ini diadakan di seluruh pelusuk negara bagi mengingati dan mengenang jasa serta perjuangan baginda SAW. Seorang penulis Barat meletakkan baginda SAW sebagai tokoh pertama yang paling berpengaruh dari kalangan manusia yang telah melakukan perubahan kepada dunia.
Menyambut Maulidur Rasul bukan sekadar kita mengadakan perarakan, siri ceramah, selawat dan salam untuk baginda, namun apa yang lebih penting ialah sejauh mana kita menceduk dan mengambil sibghah (acuan) yang telah dipusakai buat generasi kita.
Menyambut Maulidur Rasul bermakna kita harus iltizam untuk terus menjunjung sunnah baginda SAW dalam segenap dimensi kehidupan kita. Kita wajib memasak pancang jihad, dakwah dan tarbiyyah yang ditinggalkan baginda untuk diwariskan kepada generasi selanjutnya. Ia juga bererti kita wajib menjadi mata rantai risalah baginda yang berkesinambungan serta membawa obor tajdid dan taghyir yang dipelopori baginda.
Kita kenangkan saat-saat sebelum kelahiran dan kebangkitan baginda SAW, ketika dunia dihinggapi virus jahiliyyah, ketika kuasa didominasi para perakus dan penguasa yang zalim, ketika umat ibarat buih yang terhempas di lautan, ketika masyarakat sarat dengan kebejatan sosial. Ketika itulah Allah mengutuskan baginda sebagai penyelamat dan agen perubah umat. Rasulullah SAW menjadi cahaya ke seluruh alam, petunjuk sepanjang jalan dan pemimpin ke jalan yang lurus. Menerusi proses tilawah, tazkiyah dan ta’lim, baginda telah memulakan satu gerakan perubahan umat.
Marilah kita menggali semula jejak dakwah dan tarbiyah baginda SAW dalam mengasaskan satu binaan Islam. Mari kita sematkan sejarah keagungan baginda dalam benak jiwa dan fikiran kita. Jangan kita menjadi penderhaka kepada baginda SAW dengan hanya sekadar berarak, berselawat dan bersepanduk tetapi kita mencerca dan mengabaikan sunnah baginda terutama sunnah kubra iaitu berdakwah dan berjihad untuk mengembalikan ketuanan Islam di muka bumi ini.
Semoga kehadiran Maulidur Rasul 1433H menambahkan kecintaan dan kerinduan kita pada baginda sekaligus memotivasikan kita untuk sederap melangkah ke hadapan bagi menakhodai bahtera perubahan ini. Biar jasad baginda jauh dari mata kita namun jihad, dakwah, tarbiyah serta sosok baginda dekat di sanubari kita.
Salam Maulidur Rasul.
Admin

No comments:

Post a Comment